Cadangan membenarkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenarai dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) membeli rumah pertama perlu dilakukan secara bersyarat.
Demikian pandangan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (Hartaguam), Datuk Nazri Mustafa berhubung cadangan kerajaan itu yang bertujuan membantu meningkatkan kadar pemilikan rumah di kalangan rakyat di negara ini.
Beliau berkata, cadangan berkenaan adalah baik dan satu usaha berterusan kerajaan dalam membantu merancakkan pasaran hartanah tempatan serta mengurangkan unit kediaman tidak terjual.
"Bagaimanapun proses berkenaan (permohonan pinjaman) perlu dilakukan secara bersyarat dan wajar dihadkan kepada peminjam PTPTN yang mempunyai tunggakan ansuran pembayaran sehingga 24 bulan.
"Ia perlu dijadikan sebagai pembiayaan bersyarat di mana sebarang permohonan pembiayaan oleh golongan ini boleh diproses dan selepas diluluskan mereka mesti menjelaskan tunggakan ansuran PTPTN sebelum pembiayaan rumah dikeluarkan oleh bank sekali gus atau pengeluaran secara berperingkat,” katanya kepada BH.
Beliau berkata, langkah ini akan lebih menjadikan peminjam PTPTN bertanggungjawab dalam melunaskan hutang mereka dan menstruktur semula pembayaran balik baki pinjaman secara lebih teratur.
Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pula berpendapat, cadangan berkenaan perlu diteliti dan memerlukan kajian terperinci kerana ia perlu dilaksanakan dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan kualiti aset perbankan atau meningkatkan risiko hutang tidak berbayar (NPL).
“Dalam menilai sebarang permohonan pembiayaan, laporan CCRIS banyak membantu bank untuk mengkaji gelagat peminjam untuk melunaskan komitmen bayaran bulanan mereka dan apabila hutang PTPTN dimasukkan dalam laporan CCRIS, ia memberi gambaran sebenar berkenaan gelagat dan trend pembayaran hutang.
"Oleh itu, kelonggaran terhadap peminjam PTPTN yang disenaraihitamkan untuk memohon pembiayaan perumahan perlu dilaksanakan dengan berhati-hati. Ini kerana isu utama yang berlaku adalah harga rumah tinggi berbanding kemampuan pembeli.
"Manakala jumlah pembiayaan pula bergantung kepada harga rumah yang dibeli. Semakin tinggi harga rumah, semakin besar jumlah pembiayaan serta bayaran bulanan yang terpaksa ditanggung pembeli," katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA), Prof Dr Ismail Omar, berkata cadangan berkenaan akan memberikan kuasa pinjaman dan kuasa beli kepada peminjam PTPTN 'bermasalah' lebih baik berbanding sebelum ini.
"Keadaan ini akan meningkatkan permintaan membeli rumah di pasaran, seterusnya meningkatkan permintaan dan pasaran hartanah. Bagaimanapun, menurut teori ekonomi makro, pasaran saham mempunyai hubungan songsang dengan pasaran hartanah dan apabila keadaan ini terjadi, harga saham bank akan menurun.
"Oleh itu, kerajaan perlu memberi keutamaan sama ada kepada pasaran saham atau pasaran hartanah. Pasaran saham lebih sensitif dan drastik berubah sedangkan pasaran hartanah agak perlahan untuk bertindak balas kepada dasar kerajaan serta mengambil masa untuk dipulihkan.
"Memandangkan banyak hartanah kediaman yang tidak terjual dan pasaran hartanah secara umumnya agak lembap pada masa ini, saya berpendapat kerajaan perlu memberi keutamaan kepada pasaran hartanah sekurang-kurangnya dalam jangka pendek,” katanya.
Kredit : BH Online
No comments:
Post a Comment